KUALA LUMPUR 30 April – Pelajar Kolej Vokasional Gombak (KGV) dekat sini mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya berjaya mementaskan sebuah teater berbentuk ‘psycho-triller’ baru-baru ini.
Teater bertajuk ‘Penjuru Empat Karma’ karya seorang pelajar kolej berkenaan, Mohammad Firdaus Kamaruddin, diterajui oleh ahli-ahli kelab teater dan kebudayaan KVG.
Menurut pensyarah merangkap penasihat kelab KVG Production, Hasmizul Hisham Ab. Rahman, teater itu bukan sahaja dapat mengetengahkan bakat pelajar tetapi juga melatih mereka dalam menguruskan sesuatu majlis atau produksi yang besar.
“Melalui projek ini pelajar boleh mengaplikasi apa yang mereka belajar di dalam kelas dan projek ini dijangkakan menjadi ‘School Enterprise’ kepada pelajar KVG.
“Teater ini berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama pelajar dan warga kolej sendiri, “ katanya di sini hari ini.
Hasmizul Hisham berkata, KVG menawarkan pengajian dalam tujuh program perniagaan dan pihaknya melibatkan kesemua program dengan kepakaran bebeza bagi menjayakan teater berkenaan.
Usaha mereka ternyata tidak sia-sia apabila seramai lebih 800 tetamu termasuk ibu bapa dan pelajar hadir memenuhi dewan KVG, menjadikan teater itu ‘pecah panggung.’
Turut hadir memberikan sokongan adalah YDP PIBG, Pihak Akademi Motivator Profesional Malaysia (AMPRO) dan pihak pengurusan KGV.
Jelas Hasmizul Hisham lagi, pementasan teater ini diharapkan dapat diteruskan demi menghargai bakat-bakat pelajar sekali gus memartabatkan seni teater di peringkat Kolej Vokasional seterusnya ke tahap lebih tinggi.
“Kami melakukan persediaan selama dua bulan yang mana kita buat latihan hujung minggu bagi mengisi masa lapang pelajar asrama.
“Semua ini akan masuk dalam aktiviti kokurikulum kolej di bawah kelab teater dan kebudayaan,” jelasnya lagi. – UTUSAN ONLINE











