KOTA BHARU 30 April – Polis memberi jaminan semua rumah ibadat di negeri ini selamat dan terkawal selepas pemantauan dilakukan oleh pasukan keselamatan tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, namun pemantauan itu terus dipertingkatkan pada setiap masa tidak hanya terhad kepada rumah ibadat tetapi juga rondaan di pejabat serta kediaman perwakilan asing.
“Hasil pemantauan saya melihat perkembangan positif dan jika mendapati terdapat unsur yang membahayakan pihak kita akan terus mengadakan pertemuan dengan ketua rumah ibadat itu.
“Saya menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak memainkan sentimen agama bagi memelihara keamanan dan usaha ini akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Malam Apresiasi Bersama Media sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-212 di Mess Pegawai Batalion 8, Pengkalan Chepa dekat sini malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi), Azran Fitri Rahim.
Akhbar sebelum ini melaporkan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah mengeluarkan arahan kepada semua Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) supaya mempertingkatkan kawalan serta rondaan terhadap semua kedutaan atau pejabat perwakilan asing serta rumah ibadat di negeri masing-masing.
Tindakan ini adalah antara langkah proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan serangan keganasan terbaru di Sri Lanka serta Christchurch, New Zealand. -UTUSAN ONLINE.











