LONDON 30 April – Gareth Bale 100 peratus akan kekal bersama Real Madrid meskipun spekulasi bintang Wales itu bakal berpindah hangat diperkatakan tegas ejennya, Jonathan Barnett.
Bekas pemain sayap Tottenham itu kini dikaitkan untuk kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas bergelut semusim bersama kelab Sepanyol itu.
Pemain berusia 29 tahun itu menjadi tumpuan apabila timbul laporan yang mendakwa hubungannya dengan rakan lain dingin tambahan pula Real berdepan siri kekalahan yang teruk musim ini.
Bale yang beraksi 90 minit mengalami kejutan terbaru apabila Real tewas 0-1 di tangan pasukan bawahan, Rayo Vallecano, pada Ahad, malah pengedali Madrid, Zinedine Zidane turut mempersoalkan sama ada Bale benar-benar fokus pada aksi tersebut.
“Gareth 100 peratus komited bersama Real Madrid, tiada apa-apa perubahan,” kata Barnett kepada BBC Sport Wales.
Musim lalu, Bale pernah meluahkan hasratnya untuk berpindah selepas membantu Real muncul juara di final Liga Juara-Juara menewaskan Liverpool.
Kontrak Bale bersama Madrid masih sah hingga 2022, namun kepulangan Zidane mengemudi semula Real menguatkan khabar angin berkenaan susulan hubungan kurang mesra antara mereka berdua.
Biarpun berjaya membantu Real memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dan satu trofi La Liga, Bale menjadi sasaran kecaman dalam kalangan penyokong Real susulan prestasi hambarnya akibat masalah kecederaannya musim ini.
Zidane baru-baru ini pernah mengeluarkan amaran kepada bintang Real yang tidak gembira dengan kelab itu boleh angkat kaki dan mecuba nasib di tempat lain.
Manchester United dan Tottenham antara kelab EPL dikatakan bersaing rapat untuk mendapatkan Bale seandainya dia benar-benar mahu meninggalkan Santiago Bernabeu. – AFP











