Tindakan Neymar adalah salah - Tuchel - Utusan Malaysia

Tindakan Neymar adalah salah – Tuchel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS 30 April – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel menyelar tindakan Neymar bergaduh dan bertindak memukul peminat yang dikatakan menghinanya ketika berjalan mengambil pingat selepas tewas pada final Piala Perancis, semalam.

Tindakan pemain PSG itu dirakamkan penonton di Stade de France yang melihat insiden tersebut dan pelbagai maklum balas diberikan terhadap tindakan Neymar.

Pemain Brazil berusia 27 tahun itu dilihat cuba menolak telefon bimbit yang dihalakan kepadanya dan kelihatan seperti menolak dagu lelaki berkenaan menggunakan tangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak menyukainya. Kamu tidak boleh melakukan begitu, kamu melakukan perkara salah,” kata Tuchel apabila diminta mengulas mengenai insiden itu.

Dalam aksi itu, Neymar meledakkan gol pembukaan ketika PSG mendahului menerusi dua gol namun dinafikan dengan kebangkitan Rennes yang memaksa kedudukan terikat 2-2 sehingga masa tambahan permainan sebelum penentuan penalti yang memihak pasukan pelawat, 6-5.

“Bukan mudah untuk berjalan ke atas selepas kekalahan itu. Ia amat sukar kepada saya, untuk semua, namun kami harus menerima hakikatnya.

“Jika kita tewas, kita perlu menunjukkan rasa hormat. Kamu tidak boleh terbabit dalam pergaduhan dengan penonton,” tambahnya.

Sementara itu, menerusi status dalam Instagram peribadi, Neymar bertanya sama ada dia berkelakuan buruk.

“Adakah saya berkelakuan buruk?. Ya tetapi tidak semua orang boleh membuat pelbagai andaian,” tulisnya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini