KUALA LUMPUR 29 April – FGV Holdings Bhd. (FGV) yang begitu sinonim sebagai syarikat perladangan terkemuka negara, kini bakal meneroka satu lagi segmen perniagaan baharu, dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan.
Siapa sangka, daripada tanaman sawit, FGV akan dikenali pula sebagai pengeksport durian, antaranya musang king, yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Untuk itu, FGV telah mengenal pasti kira-kira 1,398 hektar tanah yang bersesuaian untuk penanaman durian secara komersial dalam skala yang besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, FGV menandatangani perjanjian induk (HoA) dengan PLS Plantation Bhd. (PLS) bagi pembangunan perladangan tanaman jangka pendek terutama durian.
Katanya, kerjasama itu sebahagian daripada perancangan strategik kumpulan untuk menambah nilai tanah-tanah tidak produktif disebabkan tidak sesuai untuk penanaman sawit dan menerokai pendapatan tambahan dengan meningkatkan peratusan tanaman jangka pendek.
“Sektor logistik dan perniagaan sokongan FGV turut mendapat manfaat daripada kerjasama ini yang mana sektor ini mampu menawarkan rangkaian logistik untuk membentuk hub serantau menerusi kerjasama strategik ini.
“Bagaimanapun, bagi menentukan kawasan yang benar-benar sesuai untuk penanaman durian, penyelidikan lanjut perlu dilaksanakan terutama melibatkan kesesuaian tanah, permukaan dan kesediaan sumber air untuk pengairan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
HoA itu ditandatangani sempena Forum Jalur dan Laluan di Beijing, China. Dalam pada itu, tanaman jangka pendek lain yang berpotensi adalah getah, kayu Meranti, Teak dan Eucalyptus.
Haris berkata, menerusi HoA itu, FGV berharap untuk menerokai peluang membentuk kerjasama di antara kedua-dua pihak selari dengan cadangan PLS untuk melaksanakan Program Perladangan Durian Kebangsaan.
“Pada Ogos 2018, Kementerian Pertanian dan Asas Tani telah menandatangani protokol eksport dengan Pentadbiran Am Kastam China untuk durian segar dan sejuk beku.
“Ini merupakan potensi besar kepada industri durian Malaysia memandangkan China ketika ini merupakan pembeli durian terbesar dunia,” katanya.
PLS menerusi anak syarikatnya, Dulai Fruits telah berjaya menerokai pasaran di 10 buah negara dengan China adalah penyumbang terbesar. Dulai Fruits mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perladangan dan eksport durian.
FGV juga boleh memanfaatkan kelebihan dan rangkaian pasaran PLS untuk mengukuhkan jenama dan produknya di China.











