RAMADAN akan menjengah tidak berapa hari lagi. Sesetengah tempat bahangnya sudah mula terasa. Media sudah mula menghebahkan rancangan-rancangan menarik sepanjang Ramadan nanti. Gedung-gedung perniagaan kain baju dan segala macam berkaitan raya sudah mula mengiklankan pelbagai jenis barang.
Di media sosial sudah lama terpampang aneka jenis biskut raya untuk ditempah oleh sesiapa yang berminat. Di bandar-bandar dan pekan, bazar Ramadan sudah tersedia dengan peniaga terutama membabitkan juadah berbuka dan bersahur daripada segala jenis minuman, kuih-muih sampailah kepada lauk-pauk.
Biasanya, masuk sahaja Ramadan, kebanyakan tempat menjadi pesta makan dan minum. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah menjangka sebanyak 20,000 tan makanan akan dibazirkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan nanti.
Ini barangkali makanan yang dibazirkan di rumah, gerai-gerai makan, restoran, hotel sampailah ke masjid-masjid dan surau kerana berlaku lambakan akibat nafsu makan tidak terbatas berbanding apa yang boleh diisi dalam perut.
Maka setiap tahun sepanjang Ramadan kita akan mendengar ia merupakan lubuk rezeki bagi peniaga-peniaga makanan dan minuman kerana nafsu makan yang tidak dikekang menjadikan apa yang ada di rumah tidak pernah cukup.
Sudah ada dua tiga jenis juadah di rumah pun, ada lagi yang hendak dibeli di bazar Ramadan. Maka tidak hairanlah di kampung-kampung di pinggir pekan pun tumbuh gerai menjual juadah berbuka puasa.
Yang membelinya bukan hanya kerana sibuk kerja sampai tidak sempat buat juadah berbuka, tetapi membeli juadah berbuka merupakan satu kemudahan yang tersedia di depan mata.
Asal ada duit, tunjuk sahaja apa yang hendak dibuat berbuka puasa, habis cerita. Agaknya, generasi sekarang sudah tidak ada apa lagi yang hendak dijadikan nostalgia apabila mereka menjadi dewasa dan tua kelak.
Oleh kerana sibuk dengan pekerjaan dan boleh tunjuk itu dan ini di gerai apa yang dimakan, tidak perlu sediakan juadah berbuka lagi.
Penulis masih ingat, ketika penulis zaman kanak-kanak dulu, seminggu dua sebelum Ramadan, maka bertingkahlah alu lesung indik di rumah nenek penulis.
Oleh sebab persekitaran penulis dikelilingi sawah padi, beras jawi dan beras pulut direndam kemudian ditumbuk dengan lesung indik dijadikan tepung. Semua ini sebagai persediaan buat juadah berbuka.
Nenek kumpulkan beberapa orang bekerjasama menumbuk tepung lepas asar hingga hampir maghrib kemudian sambung lagi selepas isyak membawa ke tengah malam.
Ramadan dulu-dulu berjaya merapat hubungan mengukuh ikatan penduduk kampung yang bukan hanya dalam soal-soal menyediakan juadah berbuka tetapi apabila hampir waktu berbuka pun, mereka bertukar juadah sehingga ada yang memperoleh lima jenis juadah hasil titik peluh dan ikhtiar sendiri.
Semua itu tinggal nostalgia yang tidak dimiliki oleh generasi masa kini. Generasi kini sudah mewah dengan makan minum yang boleh dibeli, waima di ceruk-ceruk kampung. Kalau tidak ada hujan ribut, bukalah gerai jual kuih apa pun, orang akan beli kerana ada tempat hendak dibeli.
Hendak buat kuih apa pun kini bukannya susah kerana segala macam tepung ada di kedai. Hendak buat juadah apa pun kini bukannya susah kerana kebanyakan stesen televisyen sekarang menyediakan chef mengajar kita masak dari mula-mula kita celik mata sampailah ke petang.











