WALAUPUN mendapat restu dan sah diijabkabulkan di hadapan keluarga, namun dilaporkan terdapat kes perpisahan antara pasangan suami isteri berpunca daripada ibu bapa mereka.
Ini berikutan kurangnya kefahaman dan ilmu pasangan baru berkahwin mengenai alam rumah tangga terutama dalam membahagikan tanggungjawab terhadap keluarga, adik beradik atau saudara mara sehingga melibatkan campur tangan orang ketiga.
Sekiranya penglibatan orang ketiga menjadi dominan, ia secara tidak langsung boleh membawa kepada perkara buruk seperti gagal membezakan peranan dan tanggungjawab terhadap pasangan berbanding ahli keluarga lain.
Pasangan yang baru berumah tangga harus diberi ruang dan peluang untuk membina kehidupan agar mereka mampu berdikari sementara sebagai ibu bapa boleh berkongsi pengalaman dan nasihat berdasarkan pengalaman dilalui.
Adalah tidak wajar sekiranya ibu bapa mempunyai pandangan negatif atau buruk sangka terhadap menantu kerana tindakan tersebut hanya akan mengundang konflik serta perselisihan faham.
Menurut Pendakwah Muda, Dai Wan Dazrin Wan Din atau dikenali sebagai Dai Wan, perkahwinan merupakan fasa baharu bagi pasangan suami isteri dalam memenuhi fitrah keperluan antara lelaki dan wanita.
Justeru, perlu diberi kelonggaran kepada mereka dalam mengatur masa depan, namun tidak bermakna anak melupakan tanggungjawab terhadap ibu bapanya.
“Walaupun seorang suami perlu mendahulukan ibu bapa dalam hal tertentu, tetapi dalam masa sama mereka perlu menjaga emosi isteri.
“Suami perlu pandai bermain tarik tali dalam memberikan yang terbaik, yang mana mendatangkan lebih banyak kebaikan.
“Tidak boleh mendahulukan perkara tidak penting untuk ayah ibu sehingga mengabaikan isteri, begitu juga sebaliknya,” katanya memulakan bicara.
Walaupun menjadi resam alam perkahwinan sering diuji, namun ibu bapa tidak harus campur tangan, sebaliknya suami dan isteri perlu menguruskan masalah tersebut sendiri dan dalam masa sama menjaga aib rumah tangga termasuk tidak menceritakannya kepada pihak ketiga melainkan benar-benar teraniaya.
“Jika ibu bapa terdengar tentang anak dan menantu sedang menghadapi konflik, jangan langsung libatkan diri melainkan sekiranya mereka meminta bantuan.
“Tindakan menghubungi anak sejurus selepas mengetahui tentang konflik adalah tidak tepat, sebaliknya biarkan mereka menyelesaikan masalah tersebut. Mereka memerlukan fasa untuk berdikari dan memahami satu sama lain,” ujarnya.











