KUALA LUMPUR 29 April – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat perbincangan secara dalaman adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan isu serius seperti kemelut yang sedang melanda Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, perbincangan secara dalaman antara pihak terlibat adalah lebih baik berbanding mendedahkannya di media atau saluran lain untuk memastikan industri bola sepak terjaga.
“Daripada apa yang berlaku ia bukan perkara yang kita boleh ambil mudah dan sudah pasti ada perbincangan dalaman. Ini perkara yang agak sensitif dan berprofil tinggi, jadi kami tidak mahu memberi komen yang boleh mendatangkan perdebatan pelbagai pihak termasuk di media sosial.
“Ia mungkin akan menyusahkan pihak tertentu yang sedang mencari jalan penyelesaian. Apa yang pasti, kami di FAM ada berbincang di belakang tabir tetapi tidak boleh membuat komen secara rasmi. Dalam bola sepak, banyak paltform kami boleh guna untuk selesaikan kemelut,” katanya ketika ditemui di World Football Summit (WFS) Asia, hari ini.
Stuart berkata, FAM akan bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan kemelut itu dapat diselesaikan secara bersama.
Kemelut antara MFL dan FAS timbul selepas Presiden FAS, Datuk Posa Majais menuntut agar Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam meletak jawatan dengan menyenaraikan beberapa kelemahan dan kegagalan MFL dalam menjaga hak kepentingan rakan kongsi termasuk kegagalan perjanjian penajaan terbesar bersama Telekom Malaysia (TM) baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Stuart menggesa agar pasukan bola sepak dan pemain dapat bekerjasama dengan ejen yang sudah berdaftar dengan pihak FAM untuk urusan perpindahan pemain khususnya menjelang jendela perpindahan kedua yang akan dibuka Mei ini.
“Kami menyeru kepada semua pasukan dan juga pemain untuk bekerjasama dengan perantara yang tersenarai dalam website FAM. Bekerjasamalah dengan mereka sebab ejen boleh menawarkan pelbagai benda.
“Jika urusan dilakukan dengan ejen berdaftar, pihak FAM boleh bantu jika timbul masalah seperti gaji tidak dibayar ataupun perpindahan atlet hilang. Kalau bukan berdaftar kami tidak boleh tolong jika berlaku apa-apa,” kata Stuart.
Stuart mendedahkan beliau akan berjumpa dengan satu ejen dari Eropah yang menawarkan lima pemain Malaysia yang pernah beraksi di luar negara. – BERNAMA











