Rang undang-undang digubal perkasa pengurusan, kawalan sumber air - Utusan Malaysia

Rang undang-undang digubal perkasa pengurusan, kawalan sumber air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 April – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah menggubal satu Rang Undang-Undang Sumber Air (RUU SA) yang seragam dan komprehensif untuk digunakan oleh semua negeri bagi memperkasakan pengurusan, kawalan dan penguatkuasaan sumber air di seluruh negara.

Menterinya, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, ia termasuklah melancarkan proses perbincangan serta penyelarasan isu-isu berkaitan sumber air yang dikongsi oleh dua atau lebih negeri.

Rang undang-undang ini memerlukan sokongan dan penerimaan secara keseluruhan oleh semua kerajaan negeri dalam memastikan isu-isu seperti pencemaran sungai dapat ditangani secara bersepadu dan berkesan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam hal ini, kementerian sedang mengadakan sesi konsultasi bersama dengan kerajaan negeri berkenaan pelaksanaan rang undang-undang ini. Rang Undang-undang ini memerlukan sokongan dan penerimaan secara keseluruhan oleh semua kerajaan negeri dalam memastikan isu-isu seperti pencemaran sungai dapat ditangani secara bersepadu dan berkesan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu bagi memberi penjelasan berhubung laporan sebuah akhbar harian semalam bertajuk ‘Sumber Air Negara Terancam’ yang menyatakan bahawa tiada tindakan yang telah diambil bagi menyelamat dan memulihkan sungai-sungai yang tercemar.

Dr. Xavier berkata, kementerian sememangnya memandang dan mengambil perhatian serius isu-isu yang melibatkan pengurusan sumber air negara terutamanya melibatkan sungai yang merupakan sumber utama bagi bekalan air terawat.

“Kementerian melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) telah melaksanakan pendekatan berbentuk struktur seperti membina infrastruktur rawatan kualiti air sungai dan memasang perangkap sampah di beberapa lokasi sungai utama” katanya.

Beliau berkata, pendekatan bukan berbentuk struktur juga telah dilaksanakan melalui pelaksanaan strategi Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi mencapai beberapa objektif, antaranya memastikan air mencukupi dan memastikan air bersih.

Katanya, bagi mencapai objektif itu, pihaknya melalui JPS telah menyediakan pelan IRBM yang boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan negeri dan pihak berkepentingan dalam merancang pembangunan dan guna tanah dalam kawasan lembangan yang bakal memberi kesan kepada sungai.

Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017, sebanyak 32 sungai diklasifikasikan sebagai tercemar daripada 417 yang dipantau JAS di seluruh negara. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini