Kasih sayang ibu dan ayah amat mendalam bahkan dinyatakan dalam hadis bahawa tiada hijab doa kedua-dua individu itu buat anak-anak mereka.
Apabila seorang anak memilih untuk mendirikan rumah tangga menandakan mereka sudah mampu berdikari dan membuat keputusan dalam hidup terutama bagi anak lelaki.
Namun, masih banyak kes pasangan yang gagal mempertahankan perkahwinan ekoran termakan desakan ibu bapa dan ahli keluarga sedangkan apabila melibatkan hal berkaitan rumah tangga perlu diselesaikan sendiri oleh suami dan isteri.

Bahkan dalam setiap tindakan yang diambil pastinya menantu akan dipersalahkan apabila anak memilih cara yang bertentangan dengan harapan ibu bapa.
Ini termasuk mempertikaikan apabila anaknya memilih untuk hidup berdikari bersama pasangan di rumah sendiri.
Tindakan itu sebenarnya ‘membunuh’ sikap anak untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan rumah tangga, sekali gus tidak membebani ibu bapa.
Ini mungkin kerana ibu bapa sering menganggap anaknya masih kecil dan masih memerlukan pandangan daripada mereka sedangkan anaknya yang sudah berkahwin perlu memiliki pemikiran sendiri terutama dalam menguruskan rumah tangga dan bertanggungjawab terhadap hubungan suami isteri.
Dai Wan berkata, pasangan yang membina mahligai rumah tangga digalakkan membina hidup baharu dengan berdikari di rumah sendiri.
“Mereka perlu belajar susah dan senang bersama pasangan. Ingatlah, bila sudah menjadi suami isteri setiap pekerjaan bersama-sama itu ada pahala untuk mereka,” jelasnya.
Menjadi tanggungjawab suami dalam menyediakan tempat tinggal, makan dan minum, pakaian, pendidikan serta perhatian buat isteri.
“Sekiranya seorang suami tidak memberikan kelima-lima perkara tersebut wajar baginya menyesali diri, sementara isteri dibenarkan untuk tidak menunaikan tanggungjawabnya pada suami,” pesannya.
BERI KEPERCAYAAN
Bagi pasangan yang berkahwin pastinya memerlukan ruang privasi yang lebih agar mereka dapat memupuk lagi kasih dan sayang dalam mahligai perkahwinan.
Ruang privasi tidak hanya bermaksud hal dalam bilik tidur, sebaliknya melibatkan kebanyakan urusan rumah tangga termasuk percutian atau meluangkan masa ketika hujung minggu seperti aktiviti membeli belah.
“Suami isteri perlu ada masa bersama tanpa kehadiran ahli keluarga lain terutama ketika bercuti. Masa berdua harus berdua. Masa dengan keluarga adalah untuk keluarga.
“Jangan sesekali membawa ahli keluarga lain masuk dalam kebanyakan urusan rumah tangga kita. Meskipun ada konflik, tidak perlu pun ahli keluarga lain atau adik beradik lain tahu, belajar menyelesaikan masalah secara berdua sahaja,” jelasnya.
Walaupun begitu, ikatan silaturahim bersama ahli keluarga jangan sesekali diabaikan antaranya seperti menghubungi ibu bapa dan ahli keluarga untuk bertanya khabar, melakukan aktiviti bersama, memberi hadiah ketika hari lahir dan melancong bersama.











