KUALA LUMPUR 29 April – Bank Negara Malaysia (BNM) melantik semula Profesor Dr. Yeah Kim Leng dan melantik Datuk Dr. Gan Wee Beng sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari BNM berkuat kuasa 1 April, 2019.
Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata Yeah, profesor ekonomi di Sunway University dilantik semula ke jawatan itu bagi tempoh setahun, manakala Gan, Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dilantik untuk tempoh dua tahun.
Pelantikan itu dibuat di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari.
Menurut bank pusat, kedua-dua individu ini akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman secara kolektif yang berkaitan dengan tanggung jawab dan fungsi jawatankuasa tersebut.
Selain Yeah dan Gan, anggota jawatankuasa itu turut disertai tujuh yang lain iaitu Gabenor Datuk Nor Shamsiah Yunus, Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour dan Jessica Chew Cheng Lian, dan Penolong Gabenor,Norzila Abdul Aziz dan Marzunisham Omar.
Jawatankuasa Dasar Monetari bertanggungjawab untuk merumuskan dasar monetari dan polisi bagi pengendalian operasi dasar monetari.
Dasar monetari dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi oleh BNM, seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009. – BERNAMA











