Pangsapuri retak: Siasatan siap 2 Mei - Utusan Malaysia

Pangsapuri retak: Siasatan siap 2 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Laporan siasatan mengenai keretakan pada Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai dan keadaan tanah di sekitarnya dijangka siap pada 2 Mei dan dibentangkan kepada kerajaan negeri Selangor.

Ahli Parlimen Gombak merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata siasatan bagi mengetahui punca kejadian masih dijalankan.

“Jika hasil siasatan mendapati bangunan itu selamat untuk didiami, penghuni dijangka dibenarkan kembali ke unit masing-masing sebelum 1 Ramadan namun pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di blok yang terjejas itu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebarang tindakan membaik pulih struktur bangunan akan dibuat berdasarkan kepada laporan berkenaan, katanya.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Haniza Talha.

Mohamed Azmin berkata kos membaiki akan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Jika bangunan itu didapati tidak selamat diduduki, kami akan bincang lebih lanjut dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut berkata, siasatan awal mendapati tiada pergerakan tanah dikesan di sekitar kawasan pangsapuri itu sejak tiga hari lalu.

Siasatan mengenai keretakan itu dilakukan syarikat Perunding ZNA dengan kerjasama Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

Mohamed Azmin berkata, bantuan RM500 akan disalurkan kepada setiap 37 keluarga yang terjejas akibat keretakan di bangunan lima tingkat itu. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini