PULAU PINANG 29 April – Penggemar nasi kandar di Pulau Pinang kini mempunyai pilihan baharu untuk menikmati hidangan tradisi negeri itu selepas syarikat berasaskan makanan, Hajris Holdings Sdn. Bhd. (Hajris Holdings) melebarkan sayap perniagaan mereka di sini.
Menerusi rangkaian restoran popular mereka iaitu QBistro, restoran yang terletak di Persiaran Gurney di sini itu dibuka secara rasmi hari ini dengan pelancarannya disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng petang tadi.
Lebih menarik, orang ramai juga boleh menikmati diskaun sebanyak 10 peratus bagi semua jenis hidangan di restoran berkenaan yang ditawarkan sehingga 5 Mei ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hajris Holdings, Riyasudin Mohamed Dufkif, pembukaan restoran QBistro terbaharu di Pulau Pinang itu merupakan satu lonjakan besar kepada syarikat tersebut memandangkan merupakan satu-satunya rangkaian restoran berkenaan yang dibuka di luar Lembah Klang.
Katanya, pemilihan negeri ini sebagai lokasi rangkaian Restoran QBistro ke-14 juga berdasarkan konsep makanan yang ditawarkan syarikat berkenaan yang selari dengan permintaan pelanggan setempat khususnya makanan tradisi nasi kandar.
Selain itu, tambah beliau, pihaknya juga mahu memperkenalkan keistimewaan dan kelebihan perkhidmatan makanan yang ditawarkan syarikat tersebut kepada masyarakat setempat sekali gus mengukuhkan lagi jenama rangkaian QBistro di seluruh negara.

“Selain menu utama nasi kandar, QBistro di Persiaran Gurney ini juga menawarkan pelbagai pilihan menu menarik lain termasuk masakan Melayu, barat, Thailand dan sebagainya.
“Lokasi ini juga sangat strategik dengan tempat kereta sehingga 40 lot sekali gus memudahkan pengunjung untuk ke restoran kami yang dibuka bermula pukul 7 pagi hingga 12 malam setiap hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Riyasudin, pembukaan Restoran QBistro di tapak seluas kira-kira 6,000 kaki persegi di Persiaran Gurney itu membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta dan dikendalikan oleh seramai kira-kira 30 pekerja.
Katanya, pembukaan itu juga merupakan outlet rangkaian Restoran QBistro yang pertama daripada empat outlet yang dirancang dibuka sepanjang tahun ini.
Tiga lagi outlet, tambah beliau, adalah di Kota Kemuning, Shah Alam dan Alam Damai, Cheras di Selangor serta di Putrajaya dengan kos pelaburan keseluruhan dianggarkan kira-kira RM5 juta.
Jelasnya, pembukaan Restoran QBistro di Persiaran Gurney itu juga menepati sasaran pihaknya yang merancang untuk membuka dua buah lagi rangkaian restoran sama di negeri ini menjelang tahun depan termasuk di daerah Seberang Perai.
Malah, ujar beliau, pihaknya juga kini turut membuka peluang kepada mereka yang berminat melabur bersama syarikat itu menerusi konsep perniagaan francais dengan modal permulaan serendah RM350,000 sehingga RM1 juta.
“Kita juga akan melancarkan Restoran QBistro pertama dengan konsep francais ini di Kota Kemuning pada Jun ini,” katanya.
Secara jangka panjang pula, tambah Riyasudin, pihaknya kini sedang merancang untuk membuka rangkaian restoran QBistro di luar negara iaitu di London, United Kingdom (UK); Jakarta, Indonesia dan Singapura serta Australia menjelang 2021.- UTUSAN ONLINE











