KUALA LUMPUR 29 April – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan hasil siasatan terhadap keretakan teruk di Blok F, Taman Keramat Permai di Ampang Jaya di sini akan dibentangkan pada 2 Mei depan.
Beliau berkata, siasatan serta kajian berkaitan struktur bangunan terjejas, kemampanan tanah dan kestabilan bangunan sekitar masih dilakukan secara terperinci oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan juru runding profesional, ZNA Asia Sdn. Bhd., yang dilantik oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Siasatan akan diteruskan sehingga 1 Mei ini dan kita jangka sebelum bulan Ramadan semua jabatan dan agensi akan merumuskan hasil siasatan serta memberi pandangan sewajarnya kepada Kerajaan Negeri Selangor terhadap langkah seterusnya yang perlu diambil.
“Berdasarkan ujian dilakukan oleh pihak terbabit bagi melihat profil, kedudukan serta kemampanan tanah di bawah bangunan selama tiga hari, kajian mendapati bahawa tiada sebarang pergerakan ketara yang berlaku setakat ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas selepas melakukan tinjauan di pangsapuri tersebut di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi Perumahan Pembangunan, Pengurusan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha.
Lebih 200 penghuni melibatkan sebanyak 37 keluarga di pangsapuri itu dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan AU2, Keramat selepas kediaman mereka retak teruk pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE











