KUALA LUMPUR 29 April – Kebelakangan ini, prestasi skuad terjun negara semakin merosot dan ia terbukti apabila mereka gagal mengutip sebarang pingat dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia di Montreal, Kanada, yang berakhir hari ini.
Harapan terakhir untuk skuad terjun negara pulang sekurang-kurangnya dengan satu pingat tidak kesampaian apabila gandingan Nur Dhabitah Sabri dan Muhammad Syafiq Puteh sekadar menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot dalam aksi final 3 meter (m) papan anjal seirama campuran, pagi tadi.
Dalam aksi di Centre Sportif du Parc Olympique itu, pasangan negara hanya mampu mengumpulkan 287.55 mata untuk berada di tangga keenam keseluruhan.
Pingat emas acara itu diraih oleh Chang Yani-Yang Hao dari China yang merekodkan 318.15 mata, diikuti pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Grace Reid-Thomas Daley (England) dengan 314.10 dan Jennifer Abel-Francois Imbeau-Dulac (Kanada) yang mengutip 310.89 mata.
Terdahulu, Nur Dhabitah yang bergandingan dengan ratu terjun negara, Pandelela Rinong, dalam acara 10m platform seirama wanita juga berakhir di kedudukan sama.
Satu lagi gandingan penerjun senior dan pelapis negara, Leong Mun Yee-Hanis Nazirul Jaya Surya dalam acara 10m platform seirama campuran pula menamatkan saingan di kedudukan terakhir. – UTUSAN ONLINE











