KUALA LUMPUR 29 April – Kementerian Pembangunan Usahawan sentiasa bersedia membantu usahawan yang ingin mengeluarkan produk sarang burung untuk pasaran antarabangsa.
Menteri berkenaan Datuk Seri Redzuan Yusof bagaimanapun berkata usahawan perlu terlebih dahulu memahami rantaian ekosistem dalam pengeluaran sesuatu produk serta menjalani latihan khusus.
“Untuk mengeluarkan produk sarang burung walit ini, mereka perlu memahami proses pengeluarannya dan kementerian akan membantu selebihnya.
“Ini kerana dibawah kementerian saya, terdapat pelbagai agensi yang boleh menyediakan pembiayaan, latihan dan mengkormesialkan inovasi namun, sekiranya mereka tidak mengambil pendekatan untuk belajar, maka kita tidak dapat bantu.
“Sekarang ini, kita bukan nak bantu dengan memberi duit untuk buat apa usahawan itu nak buat, tapi kita nak tahu apa yang dia (usahawan) boleh dan mampu buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan muzium MyNest ‘Eco Culture’ sarang burung walit, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif MyNest Group Malaysia Datuk Chua Huai Gen berkata muzium itu dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mengetahui mengenai sejarah industri sarang burung walit di Malaysia.
“Objektif utama kami adalah untuk menjadi pusat pemprosesan sarang burung walit terbesar di Asia Tenggara yang memenugi standard Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP).
“Rakyat Malaysia dan pelancong luar berpeluang melawat dan mempelajari lebih lanjut mengenai proses menghasilkan sarang burung yang berkualiti. Di samping itu, MyNest juga turut mewujudkan pusat latihan bagi mengajar kemahiran kepada mereka yang berminat menjadi pengusaha dan pengeksport sarang burung walit,” katanya.
Sebelum ini, MyNest bekerjasama dengan beberapa syarikat seperti Yanmin Resources Sdn Bhd, Swiftlet Fortune Manufacturing Sdn Bhd dan Swallow House Enterprise Sdn Bhd yang diiktiraf dan diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Chua berkata MyNest juga berharap untuk menyediakan 1,00 peluang pekerjaan.
Tapak kilang seluas 5,000 meter persegi dengan kemudahan teknologi terkini untuk meminimumkan tenaga kerja manual yang insentif itu, mampu menghasilkan 48 tan sarang burung siap diproses setiap tahun. – BERNAMA











