KLANG – Patuhi arahan atau berdepan disenarai hitamkan merupakan peringatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada peniaga bazar ramadan di daerah ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, ini berikutan sebanyak 26 permohonan telah ditolak pihaknya susulan gagal mematuhi peraturan disediakan dan melakukan kesalahan ketika berniaga di bazar Ramadan Jalan Taiping, tahun lalu.
Katanya, ini termasuk berniaga tanpa lesen, memberi sewa kepada warga asing, vandalisme, isu kebersihan dan tidak menitikberatkan soal keselamatan semasa berniaga.
“Kesemua peniaga bazar Ramadan itu juga telah disenarai hitamkan dan tidak dibenarkan memohon tapak bazar selama dua tahun.
“Tindakan itu bertujuan mendidik para peniaga untuk lebih berdisiplin serta memantuhi syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan pihak majlis. Justeru, mereka yang ingkar akan diambil tindakan,” katanya etika ditemui selepas Program Taklimat Bazar Jalan Taiping 2019 di sini hari ini.
Pada tahun ini, MPK menyediakan menyediakan sebanyak 550 petak niaga bazar Ramadan pada tahun ini dan telah meluluskan 517 petak membabitkan 191 permohonan daripada bidaan, undian terbuka (137), petak Jambatan Kota (24), petak laluan untuk Tenaga Nasional Berhad dan Bomba (16) serta pekedai (149).
Kesemua peniaga yang diluluskan permohonan juga buat julung kalinya melakukan ikrar integriti bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengulas lanjut, Mohamad Yasid mengingatkan peniaga
supaya sentiasa menjaga kualiti barangan dan makanan yang dijual selari dengan Bazar Jalan Taiping yang cukup dikenali masyarakat di daerah ini.
“Mereka juga perlu memastikan kebersihan dan barangan jualan sentiasa tersusun rapi dalam memberikan keselesaan kepada para pelanggan.
“Bagi kemudahan orang ramai, sebuah surau segera turut disediakan oleh MPK kepada peniaga dan pengunjung di situ,” katanya. -K!ONLINE











