KUALA LUMPUR 28 April – Pemimpin dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan untuk tidak menyalahgunakan kuasa menerusi mandat yang diberikan rakyat.
Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, sebaliknya kerajaan digesa untuk memberi tumpuan terhadap rakyat khususnya golongan bawahan secara menyeluruh.
Kata beliau, tindakan itu secara tidak langsung dapat memperkukuhkan kerajaan PH sekali gus memberi jaminan ke arah kerajaan terbaik dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Jangan salah guna kuasa apabila berada di atas. Dalam hal demikian, walaupun Perdana Menteri, kita mesti lihat ekonomi rakyat hari ini dan tidak boleh beri tumpuan kepada dasar-dasar utama sedangkan nelayan, peladang dan orang kampung terbiar ataupun terasa tertinggal.
“Sekarang kita lihat banyak pembelaan terhadap golongan pertengahan, namun golongan bawahan kurang justeru, dengan pandangan sedemikian sudah sampai masanya kita mengorak langkah baharu supaya setahun ini menjadi teladan dan yang empat tahun akan datang menjadi perbuatan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











