MINGGU ini, antara isu panas yang menjadi perbualan industri hiburan tempatan adalah mengenai pembatalan showcase gabungan penyanyi yang semakin meningkat naik, Syamel dan Ernie Zakri. Showcase bersempena dengan Minggu Setiausaha itu merupakan yang pertama menggabungkan kedua-dua penyanyi berbakat besar itu.
Jika diikutkan kepada apa yang sudah dirancang, showcase tersebut sepatutnya berlangsung pada Rabu lalu. Malangnya, berita mengenai penganjuran showcase itu yang dilanda masalah kemudian mula bertebaran beberapa hari sebelum ia berlangsung, sehinggalah Syamel sendiri tampil mengakui bahawa hasrat untuk membuat persembahan terpaksa dilupakan.
Mengakui terkilan dengan apa yang berlaku, namun menurut Syamel, dia yakin setiap yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya. Jadi, katanya, dia menyerahkan hal-hal berkaitan lain kepada pihak pengurusannya, Rocketfuel untuk tindakan lanjut.
“Sebolehnya, saya tidak mahu menyentuh isu ini memandangkan ia merupakan satu isu yang agak serius dan melibatkan perihal perundangan. Bagaimanapun, sejujurnya saya sebagai individu yang terlibat dalam showcase itu berasa terkilan dan kecewa apabila masalah sebegini terjadi kepada kami.
“Apatah lagi, ia merupakan pengalaman pertama kami untuk menjayakan showcase sedemikian. Kalau ikutkan sebenarnya, banyak yang kami sudah rancang mengenai aspek persembahan untuk diberikan kepada penonton yang hadir pada hari itu. Cuma, mungkin sudah dikatakan rezeki kami bukan untuk yang kali ini. Bagaimanapun, saya percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Sebelum ini, difahamkan, pihak penganjur showcase tersebut menghilangkan diri selepas beberapa permasalahan melibatkan penjualan tiket dan pembayaran berlaku.
Menurut Syamel, dia mengakui bahawa pada awalnya, dia memang mendengar permasalahan yang timbul itu daripada pihak lain. Ketika itu dia masih sibuk melakukan proses pemilihan lagu-lagu yang akan didendangkan bersama Ernie.
“Apabila saya merujuk kepada pihak pengurusan mereka kata, showcase itu memang tak jadi. Apa yang saya dengar daripada pihak lain itu memang betul. Cumanya, pihak pengurusan saya memberitahu showcase saya dan Ernie tetap akan juga diadakan.
“Buat masa sekarang, saya tak boleh nak berkongsi lebih lanjut mengenainya terlebih dulu. Apapun, itulah yang dimaklumkan oleh pihak pengurusan saya. Kalau ikutkan pihak pengurusan, showcase itu bukan batal, tetapi ditangguhkan. Penganjur yang sama atau tidak, itu saya tidak pasti. Kena tanya dengan pihak pengurusan,” ceritanya.
Begitupun kemelut yang timbul, kata Syamel, sekurang-kurangnya, berita untuk meneruskan showcase kolaborasi dengan Ernie itu sudah cukup menggembirakan.
“Sekurang-kurangnya, ia dapat mengubat hati peminat-peminat lain, khususnya bagi mereka yang sudah mendapatkan tiket ke showcase kami. Mungkin showcase yang dirancang kemudian nanti ini akan lebih baik,” ceritanya.
Dalam pada itu, menurut figura yang berusia 26 tahun itu, dia hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang penyanyi dengan melaksanakan persembahan. Maka, hal-hal berbangkit berkaitan penganjur dan pembayaran, kata Syamel, biarlah perkara itu dirujuk dengan pihak pengurusan secara terus.









