SELEPAS menyusun alat permainan bersaiz mini ke dalam bekas membuat sabun itu, tangan Shahrul Zariah Md. Sharif, 46, pantas mencapai sebilah pisau bersaiz sederhana besar dan digunakan untuk memotong sebuku sabun gliserin.
Selepas memotong sabun tersebut menjadi kiub-kiub kecil, ia kemudian dimasukkan ke dalam sebuah bekas jernih dan dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro selama 30 saat untuk dicairkan.
Sebaik sahaja sabun itu cair, ia akan dimasukkan pula ke dalam bekas pelbagai bentuk dan saiz sebelum dibekukan semula untuk menjadi sabun.
Menariknya, sabun yang dihasilkan anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu bukanlah sabun biasa kerana di dalamnya berisi patung permainan pelbagai jenis dan warna.
Berkongsi idea menghasilkan sabun itu, Shahrul Zariah memberitahu, ia diambil daripada sebuah pertubuhan kebajikan di Afrika Selatan.
“Sebuah pertubuhan kebajikan di Afrika Selatan ada mewujudkan satu program dipanggil Hope Through Soap untuk diagihkan kepada orang miskin di sana.
“Sabun tersebut pada dasarnya sama sahaja dengan sabun kosmetik yang dijual di pasaran, namun yang menariknya di dalamnya terdapat patung permainan,” jelasnya.
Ia cukup mengujakan kerana kanak-kanak yang mandi menggunakan sabun tersebut akan dapat permainan yang ada di dalamnya.
Pelbagai bentuk
Bentuk sabun yang pelbagai serta alat permainan yang unik juga menjadikan kanak-kanak cukup teruja menggunakannya.
Jelas Shahrul Zariah yang ditemui kru Panorama di Seksyen 7, Shah Alam, sabun tersebut yang dihasilkan menerusi Projek Hopesoap akan diedarkan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara bagi mendidik mereka supaya menjaga kebersihan diri.
Ujarnya, kanak-kanak miskin sering dikaitkan dengan isu kebersihan kerana mereka dikatakan kurang menitikberatkan aspek kebersihan diri.
Dengan memperkenalkan sabun berisi permainan, Shahrul berharap agar kanak-kanak tersebut semakin teruja untuk mandi.
Derma permainan
Selepas memperkenalkan sabun sedemikian, cabaran kepada Shahrul Zariah adalah untuk mengumpulkan alat permainan bersaiz kecil untuk diletakkan di dalam sabun.
“Kami mempunyai bahan asas membuat sabun, namun kekurangan alat permainan memandangkan ia diperlukan dalam jumlah yang besar.
“Selepas idea mewujudkan sabun ini tular di laman sosial Twitter, ramai individu yang bersetuju untuk mendermakan patung permainan kecil bagi dimasukkan ke dalam sabun,” tuturnya.
Shahrul Zariah menerima pelbagai jenis alat permainan seperti patung Barbie bersaiz kecil, kereta mini, permainan haiwan mini dan juga figura aksi.
Begitu pun, antara permainan yang paling banyak diterima pihaknya adalah model kereta Hot Wheels.
Jelasnya lagi, sebelum dijadikan sabun, kesemua alat permainan yang diterima akan dibersihkan bagi memastikan setiap sabun itu selamat untuk digunakan.
“Pengguna tidak perlu bimbang kerana setiap permainan yang diterima akan dibasuh dengan bersih sebelum dimasukkan ke dalam sabun,” jelasnya sambil menambah pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk permainan lain yang dirasakan sesuai untuk diletakkan.
Selain permainan, dia yang sudah berpengalaman menghasilkan sabun kosmetik juga amat menitikberatkan keberkesanan sabun yang dihasilkan.
Khasiat sabun
Selain memilih bau yang sesuai dan disukai oleh kanak-kanak, Shahrul juga menitik beratkan aspek fungsi sabun itu sendiri.
“Contohnya, saya menghasilkan sabun dari bahan asas seperti kulit kayu manis yang menghilangkan bau badan, daun semambu yang baik untuk penyakit kulit seperti ekzema dan juga pokok lidah buaya yang terkenal sebagai bahan pelembap semula jadi untuk kulit.
“Jadi, selain mendapat permainan semasa mandi, kanak-kanak yang menerima sabun tersebut juga boleh mendapat manfaat kesihatan daripadanya,” ujarnya.
Sehingga kini, pihaknya yang berdiri di bawah badan kebajikan Kembara Insani sudah pun mengedarkan 400 buku sabun kepada kanak-kanak yang memerlukan di Papar, Sabah, Kemaman (Terengganu), Kuala Nerang dan Sik (Kedah) serta Shah Alam (Selangor).
Ditanya tentang perancangan seterusnya, Shahrul Zariah memberitahu, dia dan ahli-ahli Kembara Insani akan berkunjung ke Semporna, Sabah pada Ogos depan untuk mengedarkan sabun berkenaan kepada penduduk di sana.
Bagi proses penghasilan sabun pula, dia akan bekerjasama dengan sekumpulan pelajar daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam sebagai tenaga kerja bagi menghasilkannya.
“Memandangkan ketika ini hanya saya seorang sahaja yang membuat sabun, saya amat memerlukan tenaga kerja bagi sama-sama membantu menghasilkan sabun tersebut.
“Biarpun prosesnya ringkas, namun bagi menghasilkan sabun buatan tangan dalam kuantiti yang banyak, agak sukar juga,” jelasnya berseloroh.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu juga berharap lebih ramai lagi sukarelawan akan tampil untuk sama-sama membantu penghasilan sabun ini daripada proses mengumpulkan alat permainan sehinggalah sama-sama terlibat untuk mengedarkannya kepada golongan sasar.
Tidak dijual
Suaminya, Hisham Misripin, 50, yang sama-sama membantu Shahrul Zariah pula memberitahu, pihaknya sentiasa menerima permintaan orang awam yang mahukan sabun yang disertakan dengan permainan itu dijual kepada mereka.
“Memandangkan konsep sabun ini unik dan lain daripada yang lain, ada pihak yang bertanya kepada kami sama ada kami menjualnya bagi tujuan peribadi.
“Begitu pun, kami tidak menjual sabun ini kerana idea dan penghasilannya adalah seratus peratus untuk tujuan agihan kepada golongan sasar.
“Sabun ini dibuat sepenuhnya untuk diedarkan kepada kanak-kanak miskin atas tujuan kebajikan dan memupuk minat mandi dalam kalangan golongan tersebut,” ujarnya panjang lebar.
Bagi individu yang berminat untuk menderma alat permainan bagi projek HOPESOAP, mereka boleh menghubungi Hisham di talian 013-331 5157 atau dihantar terus ke alamat No 33, Jalan Kristal 7/77, 40000 Shah Alam.
Alat permainan yang dimasukkan ke dalam sabun pupuk minat kanak-kanak kurang berkemampuan menjaga kebersihan diri untuk elak penyakit.










