KUALA LUMPUR 27 April – Sebanyak 100 unit topi keledar disumbangkan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai lesen memandu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang, Khamis lalu.
Program Pendidikan Kesedaran Keselamatan Jalan Raya itu merupakan sebahagian daripada tanggunggjawab sosial korporat (CSR) anjuran Kesas Sdn. Bhd. (Kesas) dengan kerjasama SMK Meru, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Klang Utara dan Bukit Aman.
Kesas dalam kenyataannya memaklumkan, objektif utama program tersebut adalah untuk mendidik para pelajar tentang keselamatan, peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Seramai 400 pelajar terlibat dalam program CSR ini dan 100 pelajar yang mempunyai lesen memandu jenis B2 menerima topi keledar,” katanya.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kesas, Mohammed Shah Samin, Ketua Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintenden Muhammad Irwani Nooruldin, Inspektor Syafiq Abu Talib dari Unit Risikan Operasi Bukit Aman dan Pegawai Komander LSA, Inspektor Mohammad Alwi Mustapa. – UTUSAN ONLINE











