Lelaki itu bukan aku - Utusan Malaysia

Lelaki itu bukan aku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya buka paip dan mandi. Aduhai, leganya apabila air yang sejuk mencurah membasahi badan. Bagai hilang segala keletihan selama tiga jam membaiki kerosakan di bilik dandang (boiler room), kilang kain tempat saya bekerja, di Tampoi, Johor Baharu. Penatnya bukan main. Bayangkan, bilik dandang rosak. Panasnya membuatkan seluruh badan saya bermandi peluh.

Penat. Hari itu hari Ahad, hari cuti. Tapi sebagai juruteknik di Bahagian Kejuruteraan, saya diminta oleh ketua saya, Encik Michael supaya datang segera betulkan kerosakan tersebut. Segera. Tidak boleh tangguh!

Kelam-kabut saya tunggang motosikal dari rumah sewa. Sampai kilang, terus saya ambil toolbox di bengkel, kemudian tolak troli yang penuh dengan perkakas ke bilik dandang. Kawan saya, Wilson dan Vijay, sudah ada di situ, bersama Abang Shaari, pegawai yang menjaga bilik tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setelah dipanjat dengan tangga panjang, kami dapati kerosakan itu disebabkan oleh bearing motor yang pecah dan tersangkut dalam alat berkenaan. Ini menyebabkan sistem dandang tidak dapat berfungsi dengan baik. Saya dan Wilson perlu perbaikinya dengan segera.

SENJA

Ketika hari sudah hampir menjelang senja barulah kerja kami siap. Saya capai beg galas dan bergegas pergi ke bahagian cetak, tidak jauh dari situ. Di sana ada paip, boleh mandi. Walaupun tempat itu terbuka, tapi terdapat banyak tong besar berwarna biru bekas isi bahan kimia untuk cetakan. Kalau saya duduk atau membongkok tiada siapa yang akan nampak. Kalau berdiri, separas dada.

Saya buka pakaian, tinggal seluar pendek saja. Hari sudah hampir senja. Saya kena mandi cepat, sebab kalau saya lambat, kawasan ini akan jadi gelap kerana tidak dipasang lampu.

EHEMM… EHEMM..

Tengah sedap mandi, saya dengar suara orang berdehem. Suaranya garau. Datangnya dari arah belakang. Saya tak hiraukan. Saya terus mandi, bersihkan tangan yang kotor, kemudian salin pakaian yang disimpan dalam beg galas.

Semasa hampir siap berkemas, saya lihat ada kelibat seseorang melintas di bahagian cetak. Saya kenal orang itu.

“Abang Shaari, nak pergi mana tu?” saya memanggilnya.

Tapi Abang Shaari tidak menyahut. Dia terus berjalan dan hilang di balik mesin. Saya cepat-cepat ekorinya, tapi dia tiada. Sewaktu mencarinya, saya lihat di hujung tangga ada lif yang digunakan untuk menghantar pewarna dan bahan kimia ke makmal di tingkat dua.

DDAAMM!

Kedengaran bunyi kuat dari dalam lif tersebut. Sebentar kemudian lampu di dinding lif menyala kepada angka dua. Bermakna ada orang menggunakannya untuk ke tingkat itu.

Tidak lama kemudian, lampu menyala semula turun ke tingkat satu. Saya menyorok di belakang mesin, niat hendak menyergah Abang Shaari atau sesiapa saja yang keluar dari lif berkenaan.

Namun saya terkejut. Apabila lif turun dan pintunya terbuka, tiada sesiapa keluar. Dada dah mula berdebar. Ke mana perginya Abang Shaari tadi? Siapa pula yang guna lif ini?

PUTIH

Ketika sedang mengelamun itu saya lihat lampu lif menyala lagi. Tak berlengah, saya cepat-cepat balik ke tempat saya mandi tadi dan capai beg galas. Sebelum pulang, saya pergi ke bahagian dandang. Saya terperanjat, Abang Shaari ada di situ, sedang mengambil suhu alat dandang. Dia menegur saya.

“Eh, kamu tak balik lagi, Lie?”

“Belum,” jawab saya, kemudian bertanya, “Tadi abang ke mana lepas kita siap test run mesin boiler ni?”

“Tak ke mana lah. Kat sini aje, kemas barang yang bersepah, menyapu dan basuh lantai.”

Tak ke mana? Jawapan Abang Shaari itu buatkan saya terdiam. Saya pandang Abang Shaari. Kalau begitu, siapa yang saya lihat di bilik printing tadi?

“Betul tadi abang tak ke mana-mana lepas kita siapkan mesin boiler tu?”

Berulang kali Abang Shaari memberitahu, sejak tadi dia tidak ke mana-mana. Hanya di situ saja. Lalu saya ceritakan apa yang berlaku tadi. Abang Shaari terkejut, dia gelengkan kepala.

“Nak buat apa abang pergi ke bahagian printing? Bukan ada urusan pun. Kerja kat bilik boiler ini pun dah cukup banyak, tak cukup tangan nak buat.”

Saya terdiam lagi. Begitu juga Abang Shaari. Persoalan tergantung di situ.

Saya siapkan toolbox dan letakkan perkakasan di atas troli untuk disimpan semula di bengkel Bahagian Kejuruteraan. Kebetulan ketika sedang berkemas itu saya nampak ada seorang pengawal keselamatan. Saya ekorinya dan berbual-bual.

Kebetulan pula dia hendak melalui bahagaian kejuruteraan, eloklah tu. Samalah arahnya dengan saya. Saya simpan perkakasan tadi di bengkel dan bawa pengawal keselamatan itu naik motosikal ke bilik kawalan.

KERAS

Di situ, saya berbual lagi dengannya. Selain kejadian tadi, saya juga ceritakan satu lagi peristiwa seram yang pernah saya alami. Pada hari tersebut, saya pulang lewat kerana memperbaiki kerosakan pada mesin pencelup warna. Paipnya bocor.

Pihak pengurusan minta saya dan seorang lagi kawan berketurunan India untuk perbaikinya. Kena siapkan segera sebab bahan kimia sudah diletakkan dalam mesin pewarna itu. Kalau tak dibaiki, kain di dalam mesin berkenaan akan rosak.

Apa lagi, bertungkus lumuslah kami perbaikinya. Sejak pukul 6 petang sampai selepas isyak masih tidak siap lagi. Ya lah, mana nak potong paip lagi, nak welding paip bocor lagi. Kami berdua saja.

Entah macam mana, dalam pada leka membuat kerja welding, elektrod habis. Saya garu kepala. Kalau tak ada elektrod, macam mana nak welding sambung paip tahan karat ni?

Nak tak nak, saya kena pergi balik ke bengkel. Oleh kerana kalau ikut bahagian dalam kilang jaraknya jauh, saya ikut jalan potong di luar bangunan. Untuk sampai ke bengkel, saya lalu gudang yang menyimpan bahan kimia.

Waktu itu sudah pukul 10 lebih. Di situ ada tangki besar tempat kilang menyimpan stok tadahan air. Di sebelahnya pula ada tangki besar menyimpan gas industri. Ketika melalui kawasan itu saya dengar bunyi tong gas berkenaan diketuk bertalu-talu. Bunyinya seperti mengikut irama lagu.

Saya seronok juga, sebab waktu itu saya pun sedang menyanyi. Tapi saya terfikir, malam-malam begini ada ke pekerja-pekerja lain bekerja di belakang tong gas ini? Dalam gelap pulak tu. Peliklah pula.

Sewaktu lalu di situ, saya perhatikan sekeliling tong gas. Tiada sesiapa. Kosong saja. Ketika itulah saya terdengar bunyi sesuatu di atas penutup tangki air besar tadi. Macam bunyi benda melompat.

PAP! PAP! PAP!

Hendak disuluh, saya tidak bawa lampu picit. Saya tunggu dan perhati, namun beberapa detik kemudian saya terkejut. Melalui cahaya yang samar-samar, saya dapat lihat yang melompat itu orang berpakaian serba putih.

Siapa? Buat apa pulak dia di situ? Saya pergi lebih dekat dan perhati betul-betul. Ya Allah, rupa-rupanya yang melompat itu bukan manusia, tetapi sesuatu yang berbalut dengan kain kapan! Jantung saya rasa macam nak putus. Kaki terasa lembik. Allah… Allah…

Terus saya batalkan niat untuk ke bengkel. Lagipun saya tengok bengkel itu gelap. Semua lampu di luar dan dalamnya ditutup. Kalau saya pergi juga, entah apa lagi yang akan muncul.

Cepat-cepat saya berpatah balik. Tapi kali ini saya gunakan laluan dalam bangunan kilang. Biarlah, asalkan terang dan tidak ada yang mengganggu. Sampai di tempat mesin pewarna yang rosak itu, saya beritahu juruteknik tadi, saya tak berani pergi ke bengkel sebab ada anjing besar.

“Mari ikut aku…”

Kami pergi berdua ke bengkel dan malam itu tugas kami selesai ketika jarum jam hampir mencecah angka 12. Penat yang amat.

Pengawal keselamatan yang dengar cerita saya tadi hanya menggelengkan kepala. “Kau tak tau ke, kawasan kilang kita ni memang keras. Dah macam-macam jenis makhluk kami jumpa…” katanya lantas menceritakan pelbagai lagi kejadian seram yang berlaku di kilang berkenaan (Rosli Y., Paka, Terengganu. Kejadian ini berlaku pada tahun 1997.).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini