IPOH 27 April – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah digilis dan diseret sejauh 12 kilometer oleh sebuah kenderaan dalam nahas di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, Mohamad Haris Mohamad Fuad, 22, dari Taman Desa Jawi di Sungai Jawi, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.
Mayat mangsa ditemukan oleh orang awam yang melalui lebuh raya berkenaan dalam keadaan parah di tengah laluan di Kilometer 260 selepas Terowong Menora di Kuala Kangsar.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.
“Mangsa telah digilis dan diseret sejauh 12 kilometer dari lokasi kemalangan berlaku dan lelaki itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Kes kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE











