BACHOK 27 April – Seramai 300 peserta memeriahkan UMK Run pagi ini sempena Program Unipreneur di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini selama tiga hari yang bermula hari ini.
Para peserta dalam kalangan warga UMK, pelajar sekolah dan komuniti setempat bersama keluarga masing-masing mula berkumpul di ruang pelepasan larian di Astaka UMK seawal pukul 7 pagi.
Pelepasan larian itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof. Dr. Zaliman Sauli.
Menurut Zaliman, Program Unipreneur julung kali diadakan dengan mengumpul syarikat-syarikat milik penuntut UMK untuk mempromosi dan mempamer produk perniagaan masing-masing.
“Sepanjang program ini, seminar perniagaan turut diadakan membabitkan pelbagai agensi serta rakan industri berkaitan hal ehwal keusahawanan.
“Secara tidak langsung UMK telah melaksanakan tanggungjawab sosial dengan membawa komuniti luar kampus untuk menimba ilmu keusahawanan menerusi program ini,” katanya ketika ditemui pelepasan peserta UMK Run di Astaka UMK Kampus Bachok, di sini hari ini.

Zaliman berkata, orang ramai dijemput hadir melawat gerai jualan selain menimba ilmu keusahawanan daripada penuntut UMK dan peserta dari universiti tempatan lain yang turut menyertai festival ini.
“Bagi memeriahkan program yang berlangsung beberapa acara kebudayaan dan acara sukan santai seperti liga sepakan penalti dan bola sepak jalanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











