Wanita kuasai DUN Belia Kelantan - Utusan Malaysia

Wanita kuasai DUN Belia Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Kelantan yang bersidang buat julung kali dikuasai oleh kaum hawa dengan pelantikan 26 wakil wanita berbanding 19 lelaki.

Persidangan dua hari bermula hari ini turut menggamit nostalgia apabila berlangsung di Dewan Bunga Raya, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini yang dahulunya merupakan tempat asal Sidang DUN Kelantan berlangsung.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau berharap kesemua 45 Ahli Belia yang dilantik itu menjadi penyambung legasi dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang telah dimulakan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sebagai negeri kedua selepas Terengganu yang mempunyai peratus penduduk Melayu terbesar iaitu 94.5 peratus, kuasa politik dan ekonomi di negeri ini berada sepenuhnya di tangan orang Melayu.

“Kuasa politik atau pemerintahan ini membolehkan kita mencorak negeri mengikut ‘Dasar Membangun Bersama Islam’ dan mencetuskan banyak perubahan.

 “Dengan mandat dan amanah diberi oleh rakyat, kita mahu membina generasi masa hadapan yang lebih kuat, bersinergi, progresif dan profesional,” katanya dalam perutusan sempena majlis pembukaan Persidangan Penggal Pertama DUN Belia Kelantan di sini hari ini.

Teks perutusan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri yang juga Speaker DUN Belia negeri, Zuraidin Abdullah dan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan negeri (UBES), Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, sidang DUN Belia anjuran UBES dan Pejabat Dewan negeri itu sudah lama dirancang tetapi hanya kini menjadi realiti.

“Saya rasa kesemua Ahli Belia ini sangat bersemangat mewakili kawasan masing-masing dan membawa isu-isu penting, yang penting mereka kuasai isu setempat.

 “Kita buka ruang kepada anak-anak muda yang berada di lapangan dan mengikut program UBES dan kerajaan negeri menyerlahkan bakat dan menjadi pemimpin masa hadapan.

 “Kita negeri kelima yang mengadakan sidang DUN khusus untuk belia dan istimewanya kita buat betul-betul menepati format dalam sesi persidangan sebenar,” katanya.

Setiap Ahli Belia berumur 35 tahun ke bawah dan dilantik untuk tempoh dua tahun bagi setiap penggal.

 Dalam pada itu, Ahli Belia (Galas), Siti Zahidah Ramli, 28, ketika ditemui berkata, pelantikan sebagai wakil belia adalah perkara serius dan bukannya untuk main-main dan membuang masa.

 “Sepertimana keadaan dalam dewan sebenar, saya berpeluang mencelah semasa perbahasan dan ketika itulah masanya saya akan gunakan untuk sampaikan permasalahan terutama yang dihadapi belia yang merupakan penentu masa depan negeri ini,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini