ALOR SETAR 27 April – Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan mahu seorang penyerang baharu yang bermain di posisi nombor sembilan dibawa masuk menerusi jendela perpindahan kedua untuk mengisi kekosongan Rufino Segovia yang masih dibelengu kecederaan.
Menurut Sathianathan, beliau sudah membincangkan perkara itu dengan pihak pengurusan dan berharap keputusan dapat dicapai bagi membawa masuk segera pemain tersebut.
Sambil memberi bayangan sudah mempunyai calon penyerang tersebut, Sathianathan berkata, beliau tidak boleh menceritakan lebih lanjut kerana pemain itu masih mempunyai kontrak bersama pasukannnya.
“Saya tidak memiliki penyerang, saya selalu bergantung kepada Rufino dan Endrick (Dos Santos), tetapi mereka tidak dapat beraksi dan saya turunkan pemain lain yang perlu banyak belajar daripada kesilapan.
“Kami juga bergantung kepada Syazwan Zainon dan Syahmi Safari. Syahmi sendiri mempunyai tiga peluang tetapi kerana kurang pengalaman dia tidak berjaya menghasilkan jaringan,” katanya selepas perlawanan menentang Kedah di sini, semalam.
Selangor kini berada di tangga ketiga Liga Super selepas mengutip 16 mata keseluruhan dalam 11 perlawanan dan tujuh mata di belakang Pahang yang akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam esok.
Kata Sathianathan lagi, Rufino mungkin boleh kembali beraksi pada Julai ini jika pulih dengan cepat, namun ketiadaan penggantinya yang berwibawa ketika ini merupakan pertaruhan besar buat Selangor mengharungi aksi berikutnya.
“Saya percaya kalau Rufino ada kami boleh kekal dalam kelompok tiga teratas (Liga Super) tetapi saya sudah berbincang dengan pengurusan bahawa saya perlukan seorang lagi penyerang,” katanya. -UTUSAN ONLINE











