KUALA LUMPUR 27 April – Gangguan bekalan air di kawasan terlibat sekitar Lembah Klang pulih sepenuhnya hari ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) melakukan pemantauan terhadap bacaan tekanan di sistem-sistem agihan sehingga jam 6.00 pagi tadi selepas kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2).
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan terlibat di atas kerjasama yang diberikan ketika gangguan bekalan sementara dan kerja-kerja penambahbaikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berita berkaitan:
Dalam pada itu, pengguna diminta melayari laman web www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Terdahulu, Syabas memaklumkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan ekoran kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan SSP2. – UTUSAN ONLINE











