LONDON – Sekumpulan pengunjung dan penduduk tempatan di sebuah resort tepi pantai di Torquay, Devon di England tergamam selepas menyaksikan kemunculan sekawan obor-obor gergasi, lapor akhbar Daily Mail.
Obor-obor jenis Barrel itu adalah spesies obor-obor terbesar di perairan Britain, namun ia amat jarang dilihat muncul dekat kawasan pesisir pantai.
Hidupan marin itu mampu mencapai berat 35 kilogram itu dan tidak mengancam manusia. Bagaimanapun, sengatnya boleh menyebabkan ruam yang agak serius.
Seorang lelaki, Guy Pottinger, 35, mendakwa obor-obor itu amat besar dan mempunyai ukuran diameter kira-kira 60 sentimeter.
“Sewaktu berjalan di situ, saya sedar ada obor-obor besar dekat dinding pelabuhan. Ia kelihatan seperti sedang makan sesuatu,” katanya.
Obor-obor Barrel gemar keadaan air laut suam dan kejadian gelombang haba baru-baru ini mungkin menjadi penyebab kawanan hidupan marin itu muncul di Devon. – Agensi











