WASHINGTON – Saintis mengakui mereka masih gagal merungkai persoalan berhubung fenomena banyak paus kelabu ditemui mati dan terdampar di kawasan perairan barat Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Mail.
Sepanjang tahun ini, sebanyak 30 bangkai paus kelabu ditemui terdampar di kawasan pantai dari negeri California hingga Washington.
Lazimnya, paus sepanjang 9 meter itu akan berenang melalui Perairan Barat ke Alaska ketika musim panas. Bagaimanapun, tahun ini menyaksikan banyak bangkai paus ditemui di pantai AS.
Saintis dan sukarelawan di Pusat Marin Mamalia dan Akademi Sains California telah melakukan bedah siasat ke atas bangkai paus kelabu untuk mengetahui punca kematiannya.
Hasil siasatan mendapati, perut sebilangan paus kosong dan membawa kepada rumusan ia mungkin mati kebuluran.
Ketua Penyelidik Patologi Pusat Marin Mamalia di Sausalit, California, Padraig Duignan berkata: “Kemungkinan disebabkan kurang makan sepanjang musim sejuk, paus tidak mempunyai bekalan untuk meneruskan survival ke kawasan Utara.” – Agensi











