Pavithran terpaksa berpuas hati dengan pingat perak - Utusan Malaysia

Pavithran terpaksa berpuas hati dengan pingat perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 April – Atlet karate negara, P. Pavithran membuktikan dia mempunyai potensi bergelar jaguh apabila berupaya meraih pingat perak kumite bawah 57 kilogram (kg) pada hari pertama Kejuaraan Karate Remaja Asia di Kompleks Sukan Likas, Sabah hari ini.

Biarpun gagal meraih pingat emas namun prestasi yang dipamerkan oleh atlet berkenaan harus membuka mata Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

Dalam pertarungan final kumite bawah 57kg hari ini, Pavithran tewas 0-7 kepada pencabar dari Jepun, Matsumura Kotetse dalam tempoh tiga minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata Pavithran dia tidak berpuas hati dengan kekalahan dialaminya itu namun terpaksa menerima keputusan berkenaan.

“Memang saya tidak berpuas hati kerana sudah masuk final tetapi gagal mencatat kemenangan.

“Sebenarnya tumbukan yang menghadiahkan mata ippon (mata tertinggi) pertama itu tidak mengenai bahagian tepi badan saya, tetapi apa boleh buat, bukan rezeki saya,”katanya.

Pingat perak tersebut adalah permulaan baik bagi kem karate remaja negara ketika seorang lagi atlet iaitu Logen Vijayakumar turut meraih gangsa dalam acara bawah 63 kg.

Kejuaraan Karate Remaja Asia ini berlangsung hari ini sehingga Ahad yang menyaksikan sebanyak 544 peserta dari 33 negara mengambil bahagian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini