Hari ke 3 belum ada air, penduduk PPR tadah air bukit - Utusan Malaysia

Hari ke 3 belum ada air, penduduk PPR tadah air bukit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 April – Walaupun gangguan bekalan air di kebanyakan kawasan mula pulih hari ini, beberapa kawasan penduduk di sekitar Lembah Klang masih lagi terputus.

Tinjauan Utusan Malaysia di Program Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan di sini mendapati salah satu daripada blok kediaman bertingkat itu masih belum menerima bekalan air.

Difahamkan, bekalan air di Blok A mula pulih sejak awal pagi tadi namun bekalan di Blok B, penduduk masih bergantung kepada bekalan air tadahan sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penduduk, Muhammad Izzuddin Khan Nasir Kan, 19, berkata, dia terpaksa mandi dan menadah air bukit di Kampung Malaysia untuk dibawa pulang ke rumah kerana mula kehabisan air simpanan.

“Saya dengar bekalan air sudah pulih hari ini tapi bila buka paip masih tiada air. Jadi, saya dan adik pergi ke Kampung Malaysia untuk tadah air bukit di sana.

“Kami tinggal lapan orang dalam satu rumah dan air yang disimpan memang tidak cukup untuk kegunaan sehingga petang atau malam ini,” katanya ketika ditemui selepas pulang daripada menadah air bukit, hari ini.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Blok B, PPR Salak Selatan, Choong Choo, 67, berkata, penduduk di sini agak kecewa apabila salah satu blok masih tidak menerima bekalan sedangkan satu lagi sudah pulih sejak awal pagi.

“Biasanya, jika satu blok sudah ada air, blok satu lagi mesti ada air juga.

“Kami akan menunggu sehingga petang atau malam ini. Jika bekalan masih terputus, kami akan hubungi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. untuk meminta bekalan air ke sini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Surau Al-Khairiyah, Taman Salak Jaya, Cheras di sini mendapati solat Jumaat berlangsung seperti biasa kerana bekalan air yang terputus sebelum ini pulih kira-kira pukul 4 petang semalam. -UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini