JOHOR BAHRU 26 April -Kerajaan Persekutuan dan pihak Istana Johor perlu menghentikan perbalahan kuasa demi kepentingan rakyat dan kebaikan negeri ini.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Labis, Ir. Mohd. Izhar Ahmad berkata, perkembangan itu amat membimbangkan dan banyak perancangan serta perjuangan tidak dapat diteruskan apabila situasi itu berterusan.
“Kerajaan negeri ibarat anak, kerajaan Persekutuan ibarat ibu dan pihak istana ibarat bapa, apabila ‘ibu’ dan ‘bapa’ bergaduh, kita sebagai ‘anak’ tersepit di tengah-tengah.
“Apabila dua kuasa besar berterusan begini kita akan terus berada dalam kerugian, ditambah lagi dengan ada menteri turut campur tangan yang menaikkan lagi semarak pergaduhan dan perselisihan faham.
“Pada saya keeogoan dan dendam individu perlu dihentikan, jika kita teruskan (dendam) perkara ini tidak akan berakhir,” katanya kepada Utusan Online selepas melawat pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tanjunf Puteri di Larkin di sini sebentar tadi.
Semalam Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, sebarang perselisihan atau perbezaan melibatkan hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan harus diketepikan demi kepentingan negeri.
Titah Sultan Johor, sebarang perselisihan perlukan perbincangan secara matang antara kedua-dua pihak demi kebaikan semua khususnya rakyat.
Mohd. Izhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, rakyat ketika ini mahu melihat prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini dan bukan perbalahan dan ketidakstabilan politik. – UTUSAN ONLINE










