KUALA LUMPUR 26 April – Syarikat e-hailing yang berpangkalan di Singapura, Grab bekerjasama dengan Ninja Van bagi mengintegrasikan perkhidmatan logistik Ninja Van ke aplikasi mudah alih melalui GrabExpress.
Grab berkata, perkhidmatan logistik Ninja Van akan tersedia di aplikasi Grab melalui GrabExpress pada suku kedua tahun ini.
“Khidmat penghantaran, yang akan dilancarkan secara berperingkat di seluruh rantau ini, akan diperluaskan dengan memasukkan lebih banyak pilihan seperti penghantaran berjadual di seluruh negara, serta penghantaran antara bandar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, kerjasama tersebut akan membolehkan pihaknya menawarkan pelbagai pilihan penghantaran di Asia Tenggara dari dalam aplikasi Grab, dan memudahkan para penjual, pembeli dan pedagang untuk menghantar dan menerima bungkusan. -UTUSAN ONLINE










