KUALA NERUS 26 April – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan nilai jualan dan padanan perniagaan RM50 juta di lima lokasi Karnival Usahawan Desa (KUD) sepanjang tahun ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya juga menyasarkan penglibatan lebih 2,500 usahawan desa sepanjang penganjuran KUD berkenaan.
“Di Terengganu, kita sasar nilai jualan dan padanan perniagaan untuk 300 peserta ini mencecah RM3 juta selama KUD Zon Timur kali ini berlangsung selama tiga hari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KUD Zon Timur di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Penganjuran KUD 2019 membuka tirai di Pulau Pinang pada akhir bulan lalu sebelum bergerak ke lokasi kedua di Kuala Terengganu bagi Zon Timur selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
Seterusnya, KUD 2019 akan ke Kulim, Kedah untuk KUD Zon Utara 2 selama empat hari dari 27 hingga 30 Jun. KUD 2019 meneruskan destinasi ke Kota Kinabalu bagi Zon Sabah selama empat hari mulai 22 hingga 25 Ogos dan kemuncaknya akan diadakan di Putrajaya selama lima hari dari 17 hingga 21 Oktober nanti. – BERNAMA










