IPOH, 26 April – Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak membantah keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang meminda beberapa peraturan dalam pertubuhan itu tanpa berbincang serta mendapatkan pandangan ahli-ahli terlebih dahulu.
Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail berkata, antara pindaan itu ialah membenarkan pertambahan jawatan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang boleh dilantik oleh Menteri, Datuk Salahuddin Ayub pada peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Kata beliau, ia diputuskan menerusi Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei ini.
Beliau berkata, pihaknya hanya dimaklumkan berhubung pindaan peraturan itu pada minggu lalu menyebabkan timbul persoalan dalam kalangan ahli-ahli pertubuhan itu.
“Apa yang dibimbangi lantikan tersebut akan disalah guna oleh pihak tertentu termasuk melantik individu berkepentingan dan bukan dalam kalangan ahli pertubuhan berkenaan.
“Ini kerana pemimpin yang dipilih oleh akar umbi merupakan calon terbaik dalam kalangan semua ahli untuk menerajui Pertubuhan Peladang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Nadzri, peraturan baharu itu membenarkan menteri melantik masing-masing lima orang AJP pada peringkat PPK dan PPN manakala enam AJP Nafas.
Beliau berkata, PPN bukan syarikat milik kerajaan (GLC) sebaliknya ia ditubuh dan digerakkan seperti sebuah koperasi yang mana AJP dipilih dalam kalangan ahli-ahli yang juga pemegang saham Pertubuhan Peladang.
“Jadi sebagai ahli, mereka arif tentang kehendak serta peranan pertubuhan ini yang merupakan salah satu entiti ekonomi bagi pekebun-pekebun kecil,” ujarnya.
Kata Nadzri, sebagai ahli Pertubuhan Peladang pihaknya tidak menghalang peraturan berkenaan kerana itu adalah hak menteri tetapi mestilah tidak melebihi barisan AJP yang dilantik oleh perwakilan semasa mesyuarat tahunan.
Beliau berkata, lantikan oleh menteri bukan perkara baharu dalam Pertubuhan Peladang kerana ia pernah dibuat menurut Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983, Peraturan 35 (3) tetapi hanya empat orang sahaja.
“Bagaimanapun, ia kemudian dimansuhkan mengikut Perlembagaan Pertubuhan Peladang yang baharu pada tahun 2016, jadi peraturan terkini ini seolah-olah kembali pada cara lama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










