KUALA TERENGGANU – Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran segera menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebabkan projek Taman Ilmu terbengkalai, kata Pengerusi PH Terengganu (PH), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.
Raja Kamarul Bahrin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, meskipun projek itu bukanlah di bawah urusan kementerian, namun ia perlu diketengahkan demi kepentingan rakyat Terengganu.
Beliau pernah membuat aduan sebanyak dua kali di pejabat SPRM sejak tahun lepas iaitu di Kuala Terengganu dan Putrajaya, namun masih tiada sebarang tindakan susulan.
“Fizikal bangunan di situ telah siap tetapi oleh kerana dibiarkan sebegitu lama banyak kecurian berlaku. Kita hairan macam mana janakuasa elektrik dan bumbung pun boleh hilang. Kita hairan juga bagaimana kerajaan terdahulu yang membelanjakan wang begitu banyak tetapi cuai dalam menjaga harta rakyat.
“Saya sendiri yang buat aduan sebanyak dua kali tetapi masih tiada perkembangan. Ia sepatutnya disegerakan kerana projek ini telah terlalu lama terbengkalai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kernival Riuh Dammak Terengganufm di sini hari ini. – Bernama










