Kesedaran pemasangan kerusi keselamatan bayi masih rendah - Utusan Malaysia

Kesedaran pemasangan kerusi keselamatan bayi masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 April – Kesedaran mengenai pentingnya penggunaan kerusi keselamatan bayi dalam kalangan ibu bapa masih rendah iaitu pada kadar 26 peratus meskipun langkah mewajibkan pemasangannya secara mandatori akan bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata ini kerana ada segelintir ibu bapa yang memandang ringan bahawa kemungkinan bayi dan kanak-kanak tidak tercedera atau maut dengan hanya meletakkan mereka di kerusi kenderaan atau memangkunya.

Beliau berkata, hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) mendapati bahawa 31 peratus daripada 53 kanak-kanak dan bayi yang terlibat dalam kemalangan jalan raya terkorban.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada lebih kurang lapan bulan lagi sebelum ia dikuatkuasakan dan sebab itu kita sedang tingkatkan kempen pemasangan kerusi keselamatan bayi supaya ia tidak mengejutkan ibu bapa apabila ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen “Malaysia Buckle Up” di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MIROS Dr Siti Zaharah Ishak.

Kamarudin menambah pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MoF) agar pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

“Telah pun ada perbincangan dan secara umumnya MoF menerima prinsip itu (pengecualian SST), saya percaya akan ada keputusan positif, kalau tidak 100 peratus, paling kurang akan ada pemotongan harga,” katanya.

Sementara itu, Siti Zaharah berkata MIROS kini dalam proses menyiapkan garis panduan yang meliputi aspek pematuhan standard peraturan produk kerusi keselamatan bayi, tatacara penggunaannya di atas jalan raya dan penjualannya di premis perniagaan dan atas talian.

Garis panduan itu akan dikemukan kepada Kementerian Pengangkutan pada Jun ini sebelum ia diguna pakai oleh semua pihak.

Kempen Malaysia Buckle Up adalah sebahagian daripada program Malaysia Save Our Future yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menggunakan kerusi keselamatan bayi ketika berada dalam kenderaan. — BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini