KUCHING 26 April – Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak yakin rantau ASEAN akan muncul sebagai pangkalan bagi bakat baharu, terutamanya dalam edisi keempat Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN, yang sedang berlangsung di sini.
Menteri berkenaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengeluar dan pembiaya filem ASEAN sama-sama bertanggungjawab menghasilkan filem yang akan meraih anugerah pada AIFFA 2019 dari 25 hingga 27 April ini.
“Kita kini berada di tengah-tengah populasi yang sangat besar, majmuk, bersemangat serta kreatif dan pengeluar serta pembiaya filem ini boleh menggarap kisah terbaik yang ada di dalam ASEAN dan menonjolkan kisah berkenaan dengan selayaknya,” katanya pada majlis pelancaran Dunia Biz AIFFA 2019 di sini hari ini.
Pada AIFFA 2019, yang menandakan satu lagi kemuncak dalam kalender Tahun Melawat Sarawak, 29 filem dalam 16 kategori akan bersaing bagi meraih hadiah utama dalam Malam Gala AIFFA 2019 esok.
Festival tiga hari itu akan disertai pengeluar filem, penulis skrip dan seniman dari negara anggota ASEAN, dengan kemunculan istimewa oleh bintang filem aksi Hollywood, Steven Seagal, yang terkenal dengan filem seperti ‘Under Siege’ (1992) dan ‘Above The Law’. – BERNAMA











