PADANG BESAR 21 April – Bersahabatlah dengan rakan-rakan yang positif bagi mengelak pengaruh negatif rakan sebaya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kajian mendapati bahawa masalah sosial banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya.
“Justeru, pilihlah rakan yang berbudi pekerti, mempunyai jati diri dan berdisplin dalam semua aspek kehidupan,” demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian kempen ‘Op Sifar Cicir Sekolah peringkat SMK Syed Sirajuddin, SK Datuk Kayaman dan SK Santan yang diadakan di Masjid Al Islah, Kampung Ngulang, Mata Ayer pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim.
Program yang disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 32 bagi tahun 2019 ini adalah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Seramai 250 pelajar terpilih dari kalangan keluarga asnaf menerima sumbangan agihan zakat daripada pihak MAIPs bersempena majlis ini.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menasihatkan para pelajar supaya perlu memiliki strategi belajar yang berkesan kerana ia amat penting bagi mencapai kecemerlangan masing-masing.
“Antaranya, fokus semasa pembelajaran di dalam kelas, jangan mengalihkan pandangan ke arah lain, dengar dan fahamkan apa yang disampaikan oleh guru, awasi minda daripada memikirkan hal-hal lain, awasi diri daripada melakukan perkara-perkara lain, serta mencatat maklumat penting yang diajar oleh guru-guru,” titah baginda.
Di akhir kayuhan baginda berkenan untuk singgah merasmikan projek peningkatan sosio ekomomi asnaf berupa sebuah kedai makan yang diusahakan oleh Nirah binti Ali (No Tel: 0194084933) di alamat Kampung Sungai Mati, Mata Ayer, Perlis
yang telah beroperasi sejak 2015 dan mendapat bantuan modal sebanyak RM3,000 daripada agihan zakat MAIPs. – UTUSAN ONLINE











