SABAK BERNAM – Seorang siak tidak menyangka lelaki yang ditegurnya di perkarangan Masjid As Siraj, Kampung Batu 23, Sungai Nibong, di sini, Rabu lalu merupakan pencuri tabung masjid berkenaan.
Siak masjid tersebut, Mohd. Arif Saroji, 50, memberitahu, lelaki berusia 20 tahun itu didapati dalam keadaan mencurigakan di pekarangan masjid kira-kira pukul 12 tengah hari pada hari kejadian.
Katanya, dia kemudiannya menegur lelaki tersebut tujuan datang ke masjid sebelum diberitahu pemuda tersebut mahu menumpang tandas.
“Lelaki itu turut menambah dalam perjalanan ke Kuala Selangor sebelum singgah ke masjid ini.
“Curiga dengan jawapan itu, saya kemudiannya meminta izin daripada lelaki berkenaan bagi mengambil gambarnya bersama motosikal jenis Yamaha LC135 didakwa miliknya sebelum dia pergi dalam keadaan tergesa-tergesa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd. Arif hanya mengetahui kejadian curi wang tabung masjib menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa masjid pada malam tadi.
Jelas beliau, rakaman CCTV berdurasi 2 minit 50 saat itu kemudiannya tular di laman sosial.
“Berdasarkan rakaman itu mendapati lelaki berkenaan memasuki dewan solat utama masjid kira-kira pukul 11 pagi sebelum mencuri wang tabung masjid menggunakan lidi penyapu yang dilekatkan gula-gula getah,” katanya.
Dalam pada itu, penasihat masjid tersebut, Baharuddin Ahmad menjelaskan, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku pada tahun ini.
“Saya berharap pencuri itu insaf dengan perbuatannya mencuri dalam rumah Allah meskipun hanya puluhan ringgit sahaja. Laporan polis akan dilakukan dalam masa terdekat ini,” katanya. – K! ONLINE











