KUALA LUMPUR 26 April – Demam Avengers nampaknya tidak hanya melanda peminat filem adiwira popular Hollywood itu, malah turut dirasai pasukan bola sepak tanah air.
Semalam, portal Hollywood Reporter melaporkan jualan tiket Avengers: Endgame, filem terakhir daripada 22 siri yang memaparkan adiwira Marvel Universe itu sudah melebihi AS$850 juta (RM3.51 bilion) dan menghampiri angka AS$900 juta (RM3.72 bilion).
Filem itu dijangka mampu meraih jualan tiket sehingga AS$1 bilion (RM4.1 bilion) di seluruh dunia dalam tempoh kurang seminggu sejak ditayangkan, kelmarin.
Teruja dengan demam Avengers yang melanda, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut memuat naik poster pemain mereka menggayakan watak adiwira masing-masing.
Paling menonjol pastinya penyerang legenda, Amri Yahyah yang mesra disapa Wak Am, selain pemain sayap, Syazwan Zainon.
Poster yang dianggap sekadar ‘suka suka’ itu diharap dapat menaikkan semangat Red Giants apabila berdepan aksi getir menentang Kedah dalam Liga Super di Alor Setar, malam ini.
Selangor kini menghuni tangga ketiga liga dengan 16 mata, satu mata mengatasi Lang Merah yang berada di tempat keempat. – UTUSAN ONLINE











