SABAK BERNAM – Hasrat tujuh penagih dadah melepaskan gian di kawasan hutan paya bakau di Pasir Panjang, Sekinchan di sini terbantut selepas diserbu pihak berkuasa semalam.
Serbuan pukul 8 pagi menerusi Ops Cegah menahan kesemua suspek lelaki termasuk dua orang kena pengawasan (OKP) berusia 25 hingga 52 tahun.
Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sabak Bernam, Zulazli Hashimuddin berkata, lokasi itu didapati baharu sahaja dikunjungi sejak beberapa minggu lalu sebagai kawasan baharu bagi penagihan dadah.
Katanya, ini berikutan sarang penagihan utama mereka di Bagan Sungai Besar kerap digempur pihak berkuasa sebelum ini.
“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin.
“Tiga daripada suspek direman selama 14 hari manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan AADK,” katanya di sini hari ini.
Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – K! ONLINE











