KUALA LUMPUR 26 April – Syarikat-syarikat tempatan perlu berazam untuk memanfaatkan sistem digital disebabkan gangguan digital yang semakin meningkat di Malaysia.
Pengarah Urusan International Data Corporation (IDC) ASEAN, Sudev Bangah berkata, untuk berubah ke arah itu, mereka memerlukan rangka tindakan yang merangkumi strategi perusahaan bersama.
Katanya, ia juga termasuk pelan pelaburan jangka panjang berpandukan prinsip kepentingan digital kepada perniagaan dan platform digital tunggal untuk meningkatkan teknologi organisasi.
“Gangguan teknikal dilihat semakin ketara dalam kebanyakan industri dan tahap perkembangan pesat transformasi digital telah meningkat.
“Semasa gelombang pertama transformasi digital, organisasi sedar bahawa teknologi digital perlu menjadi sebahagian daripada teras strategi perniagaan dan kejayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bangah berkata, pasaran sedang bergerak ke peringkat lebih pantas daripada dijangka dan kini dipacu berasaskan pelanggan dan memperkasa tenaga kerja dan proses operasi yang lebih cekap, aliran perolehan baharu dan kesetiaan pelanggan menerusi penggunaan teknologi dan data.
“Ini merupakan masa yang tepat untuk mengiktiraf banyak organisasi yang meningkatkan inovasi dengan mengubah pasaran menerusi model perniagaan inovatif serta perkhidmatan dan produk secara digital,” katanya.
IDC merupakan penyedia utama global perisikan pasaran serta menyediakan khidmat nasihat dan acara kepada pasaran teknologi maklumat, telekomunikasi dan teknologi pelanggan. – UTUSAN ONLINE











