MUAR 25 April – Pengendali restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, QSR Brands (M) Holdings Bhd. (QSR Brands) menyasarkan untuk membuka 24 restoran makanan segera KFC baharu menjelang penghujung tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, setakat ini syarikat mempunyai 719 cawangan restoran makanan segera itu di seluruh negara.
“Kita mensasarkan untuk membuka 24 buah rangkaian restoran KFC di seluruh negara pada tahun ini dengan tiga atau empat restoran akan dibuka di negeri ini.
“Sehingga kini, kita mempunyai 719 buah restoran di seluruh negara dan jumlah ini akan meningkat kepada 786 buah menjelang tiga tahun akan datang dengan pertambahan sebanyak 67 buah rangkaian KFC akan dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di Galeri Jualan Bandar Universiti Pagoh, di sini sebentar tadi.
Terdahulu beliau menyaksika majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara QSR Brands dengan Sime Darby Property Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandarannya, Datuk Wan Hashimi Albakri.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal. – UTUSAN ONLINE
Habis











