JOHOR BAHRU 25 April – Umat Islam di negeri ini perlu mempertahan dan memperkasa pegangan agama dengan cara memainkan peranan, berusaha memahami dan mendalami serta menghayati ilmu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.
Justeru, Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin mahu masjid menjadi sebuah institusi berkensan dan mengambil peranan yang cukup besar dalam memperkasa akidah dalam masyarakat Islam.
“Kita sebagai umat Islam perlu mempunyai keazaman dan niat untuk memakmurkan masjid-masjid dengan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.
“Kepimpinan masjid yang diterajui oleh jawatankuasa masjid perlulah merancang, mengatur program dan aktiviti yang mampu membangun pemikiran dan akidah yang betul. Kepelbagaian aktiviti serta tarikan di masjid mampu untuk mengajak umat Islam hadir seterusnya memakmurkan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Multaqa Ulama Kali Ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini sebentar tadi.
Tungku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mewakili Sultan Johor merasmikan majlis berkenaan. – UTUSAN ONLINE











