LONDON 25 April – Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer menggesa anak-anak buahnya untuk bersatu selepas mengalami kekalahan ketujuh dalam sembilan perlawanan hari ini.
United tewas 0-2 kepada kelab serumpun, Manchester City sekali gus menyukarkan mereka untuk memburu kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas menghuni tangga keenam.
Skuad Red Devils pada Ahad lalu diaibkan Everton 0-4, namun Solskjaer mengakui pasukannya tampil dengan penuh semangat hari ini sekalipun berdepan kelab yang lebih berkualiti.
Ditanya sama ada terdapat jurang di antara kedua-dua belah pihak, Solskjaer hanya mampu bersetuju.
“Sehingga tamat perlawanan anda boleh lihat. Saya jangka pemain saya akan tampil dengan sikap yang hebat, kami memperoleh reaksi daripada mereka, daripada penyokong dansepatutnya memiliki beberapa peluang
“Mereka mempunyai pemain seperti Rahemm Sterling namun dalam babak kedua kami fikir kami akan berada dalam permainan dan akan terus menerus. Tetapi anda dapat lihat perbezaannya selepas mereka menjaringkan gol.
“Sudah tentu anda berada di laman sendiri menentang pasukan yang lebih hebat, anda mahukan kemenangan.
“Bagaimanapun mereka menetapkan standard dan menjadi pasukan terbaik di negara ini dan itu adalah cabaran kami.
“Kami tidak berada di sana buat masa ini seperti yang anda lihat, tetapi saya sudah memegang jawatan ini, jadi saya perlu meningkatkan prestasi pasukan dan mengekori rapat mereka,” katanya.- AGENSI











