BALIK PULAU – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai selepas menembak diri sendiri dengan sepucuk pistol di sebuah rumah di Bayan Lepas di sini hari ini.
Mayat mangsa, S. Kumaravelu, 38, ditemui oleh adik lelakinya berusia 33 tahun ketika pergi ke rumah itu kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, sebelum itu, teman wanita mangsa yang tinggal di Australia telah menghubungi kakak mangsa dan memaklumkan bahawa lelaki itu memberitahu mahu membunuh diri.
“Apabila adik lelakinya tiba di rumah itu, dia mendapati pintu rumah berkunci sebelum membukanya dengan bantuan tukang kunci dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di atas lantai.
“Turut ditemui ialah sepucuk pistol jenis revolver di atas katil berhampiran mangsa,” katanya kepada pembertia sebentar tadi.
Menurut Anbalagan lagi, siasatan awal pihaknya mendapati unsur bunuh diri dalam kes itu adalah konsisten dengan kematian mangsa dan suasana di tempat kejadiaan.
“Namun siasatan ke atas pistol berkenaan dan punca bunuh diri akan disiasat.
“Mayatnya akan dibedah siasat esok,” katanya. – K! ONLINE











