JIKA ditanya majoriti penyokong Manchester United, hati mereka berbelah bahagi ketika ini.
Kalah pertemuan ‘derby’ menentang Manchester City di Old Trafford awal pagi ini (3 pagi) akan memusnahkan impian mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.
Bagaimanapun, berjaya menumpaskan City di depan penyokong sendiri akan memberi kelebihan kepada musuh ketat mereka, Liverpool untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama dalam tempoh 29 tahun.
City melangkah ke Old Trafford dengan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool, dan keputusan seri juga tidak memberi kelebihan kepada skuad The Citizens, itu bermakna hanya kemenangan diburu oleh anak-anak buah Pep Guardiola.
United pula kini menghuni tangga keenam liga dengan 64 mata, tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea manakala Arsenal di tempat kelima menerusi 66 mata.
Menjelang pertemuan paling dinantikan oleh penyokong United, City dan Liverpool pagi ini, berikut adalah fakta menarik mengenai perlawanan.
MARUAH, TIKET EROPAH JADI TARUHAN
*Biarpun Manchester United tidak rela melihat Liverpool menjulang trofi Liga Perdana, namun satu lagi kekalahan di laman sendiri akan merosakkan imej mereka sama sekali, terutama buat pengendalinya, Ole Gunnar Solskjaer.
*Kekalahan bukan sahaja akan menyebabkan Red Devils terlepas tiket ke kejohanan kelab elit Eropah musim depan, malah mencalarkan maruah mereka yang baru diaibkan 4-0 oleh Everton dalam aksi terakhir liga, Ahad lalu.
*United juga telah kalah dalam enam daripada lapan perlawanan terakhir (semua pertandingan), dan satu lagi keputusan buruk mungkin mendorong penghijrahan beramai-ramai bintang mereka musim depan.
CITY HANYA MAHU KEMENANGAN
*Berbanding United, pendirian Manchester City lebih jelas – lakukan apa sahaja untuk menang.
*Prestasi mereka juga lebih meyakinkan selepas menewaskan Tottenham 1-0 dalam aksi terakhir liga, Sabtu lalu. Kegagalan menjulang kejuaraan Eropah selepas tewas di suku akhir juga menyebabkan City terdesak untuk mempertahankan trofi Liga Perdana.
*Kemenangan di Old Trafford akan mencerahkan peluang skuad Guardiola untuk dinobat sebagai juara kerana tiga baki saingan mereka dianggap lebih mudah – menentang Burnley, Leicester dan Brighton.











