KUALA LUMPUR – Dua lelaki termasuk seorang remaja ditahan polis bersama 10 bungkusan dadah disyaki methaphetamine seberat 10.1 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM500,000 di sebuah hotel di Bandar Mahkota Cheras, Kajang dekat sini Ahad lalu.
Dalam operasi khas pada pukul 5.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu, dua suspek warganegara tempatan berusia 16 tahun dan 24 tahun dipercayai keldai dadah ditahan ketika mahu memasuki hotel tersebut.
Ketika ditahan, kedua-duanya mahu menyerahkan bekalan dadah kepada pelanggan di dalam hotel tersebut tetapi tidak kesampaian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan awal oleh pihaknya mendapati suspek mula mengedar dadah sejak tiga bulan lalu.
“Berdasarkan jumlah rampasan dadah tersebut, ia dipercayai boleh menampung bekalan dadah untuk kira-kira 20,000 orang penagih.
“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM50,000,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Mazlan menambah, hasil siasatan juga mendapati mereka bercadang mahu mengedar dadah di bahagian timur negara ini dengan menggunakan pesawat.
“Pihak polis sedang menyiasat rangkaian pengedaran dadah yang berkaitan dengan suspek di kawasan berkenaan.
“Suspek turut aktif mengedar dadah di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan kepada dua suspek itu adalah negatif.
“Remaja tersebut tidak bersekolah manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah kerana terlibat dalam pergaduhan.
“Kedua-duanya direman selama enam hari sehingga 27 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya. – K! ONLINE











