KUALA LUMPUR 24 April – Orang ramai dipelawa untuk menyertai projek amal pemberian buku dan permainan secara percuma (Free Books and Toys 1/2019) di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Sabtu ini.
UPM dalam satu kenyataan memaklumkan, program anjuran bersama Masjid UPM, Sahabat Masjid UPM, Gerakan Pengguna Siswa dan Kelab Penyayang UPM itu membuka peluang kepada orang ramai menyumbang barangan kepada mereka yang memerlukan.
Program yang akan bermula dari pukul 9.30 hingga 11.30 pagi itu diadakan sempena Karnival Masjid UPM dan Ambang Ramadan 1440H/2019M.
“Penganjur akan menyediakan ruang manakala orang ramai hanya membawa dan menyusun barangan sumbangan selama satu jam sebelum acara bermula.
“Baki sumbangan selepas habis program hendaklah dibawa pulang oleh penyumbang,” menurut UPM dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, bagaimanapun, bagi penerima atau pengunjung yang ingin mengambil barang sumbangan pula perlu membawa beg sendiri dan mengambil barangan mengikut keperluan sahaja.
“Selain perlu senyum, pengunjung perlu meminta izin dan tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada penyumbang,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambahnya, penyumbang dan penerima bukan Islam juga dijemput hadir dan boleh mengambil bahagian dengan syarat memakai pakaian sopan ke masjid.
Pihak penganjur juga sedang mencari sukarelawan dan mempelawa individu atau syarikat yang boleh menawarkan perkhidmatan percuma antaranya gunting rambut, ‘face painting’, melukis inai, belon atau mana-mana perkhidmatan sesuai untuk dijadikan aktiviti sampingan.
Sebarang pertanyaan, boleh terus menghubungi Mus di talian 017-733 1583. – UTUSAN ONLINE











